Malaysia

SEKADAR sandiwara atau sudah tiba masanya berwaspada?

Mungkin persoalan itu hanya boleh dijawab pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal sebaik mereka dijinakkan Vietnam 0-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium MyDinh, Hanoi malam kelmarin.

Jaringan tunggal Nguyen Trong Hoang pada perlawanan itu jelas menjadi pemisah kedua-dua pasukan sekali gus menyaksikan misi Harimau Malaya menebus ‘aib’ terhadap lawan sama sebaik tewas 0-2 di Stadium Shah Alam, 11 September lalu lebur sama sekali.

Sudah tentu permulaan ‘langkah kiri’ skuad negara dalam siri persahabatan menjelang sepak mula Piala AFF Suzuki hujung bulan ini menerbitkan resah peminat fanatik tempatan lantaran status Malaysia selaku juara bertahan dilihat tidak lagi mengundang gerun mana-mana lawan.

Jika tiada sebarang post mortem segera diterjemahkan Rajagobal, tidak mustahil skrip yang sama juga bakal menimpa Harimau Malaya ketika berdepan Thailand di Chiang Mai, Rabu ini sebelum melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Shah Alam, 14 November depan.

Sebelum ini, Rajagobal tanpa berselindung enggan membiarkan aksi mereka dalam ketiga-tiga perlawanan itu ‘diintip’ Indonesia, Laos dan Singapura – tiga lawan yang bakal ditentang Malaysia dalam aksi Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki nanti.

“Saya percaya Laos, Singapura dan Indonesia akan menghantar ‘pengintip’ untuk memantau keupayaan skuad negara tetapi jangan risau, kita masih belum menunjukkan ‘kekuatan’ sebenar kepada pihak lawan,” katanya sebelum berlepas ke Vietnam sebelum ini.

Itu kata Rajagobal. Tidak mustahil daripada kaca mata pengkritik, ia tidak lebih daripada ‘ayat penyedap hati’ semata-mata.

Bukan apa, ‘atas kertas’ beliau dilihat sudahpun menurunkan barisan terbaik seperti Khairul Fahmi Che Mat, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha dan juga Safee Sali ketika berdepan Vietnam kelmarin.

Jadi, bimbang juga sekiranya ‘helah’ yang cuba diterjemahkan Rajagobal akhirnya memakan diri sendiri selepas ini.

Namun pada masa sama, mempertahankan kejuaraan pastinya lebih sukar berbanding muncul juara buat kali pertama.

Jadi, ada baiknya saksikan dahulu wira-wira bola sepak negara berjuang di padang sebelum berfikir yang bukan-bukan.

Meminjam kata Safiq sebelum ini: “Menang ketiga-tiga perlawanan persahabatan ini jika gagal mempertahankan trofi Piala AFF Suzuki pun tiada gunanya.

“Yang paling penting keserasian dan persefahaman kami sebagai satu pasukan sekali gus mempertahankan Piala AFF Suzuki.”

Masa kian suntuk buat skuad negara. Soal mampu atau tidak pasukan negara mempertahankan Piala AFF Suzuki, sama-samalah nantikan kesudahannya. — Kosmo




coded by nessus

One Response to “Sandiwara atau waspada?”

  1. redwarrior says:

    Sejak K. Raja Gubal gagal memacu Harimau Malaya menewaskan Singa Pura-pura dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Julai 2011 lepas, ungkapan “cakap sedap”, “cakap besar” atau “cakap berbelit-belit” kini sukar dibezakan di antara satu sama lain. Permainan Malaysia pun semacam sahaja – iaitu menuju kekalahan. Gerun memikirkan pasukan negara akan diaibkan dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki nanti. Harap-harap ia tidak berlaku

Leave a Reply